THE HAGUE, 13 Feb – SITUASI…  Menteri Luar Belanda Halbe Zijlstra berada dalam situasi sukar selepas mengakui beliau berbohong hadir dalam satu pertemuan kontroversi dengan Presiden Russia Vladimir Putin pada 2006.

Diplomat atasan baharu negara itu mengakui hujung minggu lalu, berbeza dengan dakwaan sebelum ini, beliau tidak pernah menghadiri pertemuan dengan Presiden Russia itu, kata akhbar harian haluan tengah-kiri, De Volksrant.

Pendedahan itu memalukan buat Zijlstra ketika beliau menuju ke Moscow esok dalam pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Russia, Sergei Lavrov.

Seorang anggota parti Liberal VVD pimpinan Perdana Menteri Mark Rutte, parti utama dalam gabungan pemerintah, Zijlstra sebelum ini menegaskan beliau hadir dalam pertemuan di rumah percutian Putin 12 tahun lalu yang turut dihadiri bekas eksekutif Shell, Jeroen van der Veer.

Bekas kontraktor Shell, Zijlstra memaklumkan anggota parti dalam kongres VVD pada Mei 2016, beliau berada di sana ‘di belakang tabir sebagai pembantu’ ketika pertemuan dengan Putin yang didakwa bercakap mengenai definisi ‘Greater Russia,’ kata akhbar.

“Ia sesuatu yang bodoh. Saya sepatutnya melakukannya dengan cara berbeza,” kata Zijlstra menambah beliau ‘meminjam’ kisah itu daripada orang lain yang berada dalam mesyuarat terbabit dan memaklumkan kepadanya.

Pelantikan Zijlstra pada Oktober lalu sebagai Menteri Luar mengejutkan The Netherlands kerana dianggap tidak memiliki pengalaman diplomatik.

Zijlstra dijangka berbincang dengan Lavrov berhubung siasatan diketuai Belanda terhadap insiden pesawat Malaysia Airlines MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine pada 2014. – WD MY