LANGKAWI, 26 MAC – RAIKAN…. Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berpuas hati dengan majlis perasmian Pameran Maritim dan Antarabangsa Langkawi (LIMA’19) yang berjalan lancar hari ini.

Beliau berkata, LIMA’19 dibuka secara rasmi oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga pencetus kepada penganjuran pertama pameran berprestij itu pada 1991.

“Hari ini juga kita menyaksikan majlis penyerahan semula pesawat Sukhoi SU-30MKM antara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Aerospace Tech System Corp (ATSC).

“Kita juga meraikan ulang tahun ke-25 pesawat Hawk keluaran BAE System dalam perkhidmatan TUDM,” katanya.

Pesawat Sukhoi SU-30MKM sebelum ini menjalani penyelenggaraan yang dilakukan ATSC selepas 10 tahun berkhidmat bersama TUDM.

Mohamad berkata, turut diadakan hari ini adalah Perbincangan Meja Bulat Ketua Angkatan Laut anjuran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Persidangan Antarabangsa Selat Melaka.

“Sehingga kini pameran di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) dan demonstrasi udara serta maritim berjalan lancar dan teratur,” katanya. – WD MY