KUALA LUMPUR, 3 Nov – Malaysia menggesa menteri pertahanan rantau ini untuk terus berdialog bagi mencapai matlamat bersama iaitu kestabilan dan keamanan serantau.

Menurut Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein adalah menjadi tanggungjawab bersama mereka untuk berganding bahu mengelakkan
sebarang insiden tidak diingini daripada berlaku di Asia Tenggara.

“Sebagai menteri pertahanan, tanggungjawab terletak di atas bahu kita untuk
memastikan kestabilan negara kita, rakyat kita dan yang lebih penting adalah
rantau ini secara keseluruhan,” katanya dalam ucapan pembukaan Pemukiman
Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM-Campur Ketiga yang
bermula hari ini di Subang hari ini.

Beliau mengakui ini bukanlah satu tugas mudah, terutamanya dengan keadaan
keselamatan dan landskap politik hari ini yang saling berhubungan, kompleks dan
mencabar.

Hishammuddin juga mengucapkan penghargaan kepada rakan sejawatnya kerana
dengan tegas mengecam keganasan dan pertubuhan ekstremis serta kegiatan mereka
semasa ADMM kesembilan di Langkawi, Mac tahun ini.

Hishammuddin berkata pendirian bersama mereka selain daripada kecaman hebat
ke atas kumpulan militan IS dan organisasi yang sama menunjukkan masalah ini
adalah serius dan perlukan tindakan segera.

“Ia memberikan isyarat yang jelas bahawa kita mengambil serius isu keganasan
ini dan melakukan apa yang perlu untuk mengatasi ancaman ini bersama, sebagai
satu barisan yang teguh,” katanya.

ADMM ialah mekanisme tertinggi perbincangan dan kerjasama pertahanan dalam
ASEAN mengenai perkara-perkara berkaitan pertahanan. -Sharini Abdulah(WD MY)

LEAVE A REPLY