KUALA LUMPUR, 8 Okt – Mercedes-Benz Malaysia Sdn Bhd akan
mengekalkan harga bagi tempoh jangka pendek dan sederhana sekalipun ringgit
sekarang dalam keadaan turun naik.

Menurut Naib Presiden Mark Raine berkata syarikat akan melakukan yang terbaik untuk
melindungi pelanggan dan terus dengan strategi penetapan harga jangka panjang
bagi jenamanya di Malaysia.

“Seperti perniagaan lain, kami juga terjejas dengan turun naik ringgit.
Namun kami akan memanfaatkan sepenuhnya instrumen kewangan untuk mengehadkan
kesan.

“Kami sentiasa memantau dan menyemak semula kadar tukaran asing,” katanya
kepada media selepas mengumumkan keputusan kewangan suku ketiga syarikat, hari ini.

Menurut Raine, jika keadaan turun naik mata wang kekal untuk jangka panjang,
pengeluar kereta berpangkalan di Jerman itu mungkin menimbang kemungkinan
menyesuaikan harga kenderaan bagi pasaran Malaysia.

Mengenai pengecualian duti eksais bagi model hibrid unit terurai untuk
dipasang (CKD) yang dijadualkan hujung tahun ini, beliau berkata syarikat
memohon tempoh lanjutan.

“Kami dalam proses (memohon) dan optimis dapat meneruskan dengan harga
semasa bagi model hibrid kami,” katanya. – Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY