KUALA LUMPUR, 26 Ogos – JAWAPAN….. Datuk Seri Hishammuddin Hussein memaklumkan tiga anggota pasukan khas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menjadi pegawai pengiringnya hanya berkhidmat untuk sementara waktu sahaja.

Hishamuddin berkata, beliau sudah menawarkan mereka untuk bekerja dengannya sekiranya mereka meletak jawatan.

“Mereka cukup rapat dengan saya sekeluarga dan sudah berkhidmat sekian lama. Mereka dengan saya hanya sementara.

“Saya sudah menawarkan kerja tetapi jika mereka terima maka mereka harus berhenti dari Angkatan Tentera Malaysia dengan serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Twitter.

 

Menurut laporan portal, dua daripada anggota itu adalah daripada Pasukan Khas Laut (PASKAL) yang masing-masing berusia 37 dan 41 tahun dengan tahun akhir berkhidmat pada 2020 dan 2021, manakala pegawai pengiring ketiga adalah seorang komando.

Laporan terbabit yang memetik sumber daripada ATM dan Kementerian Pertahanan memaklumkan tiada banyak maklumat mengenai komando itu, namun anggota terbabit didakwa antara individu di dalam satu gambar dimuat naik Hishammuddin menerusi Twitter, minggu ini.

Difahamkan anggota PASKAL berusia 41 tahun itu dilihat menjadi sebahagian daripada pengiring Hishammuddin dalam gambar bertarikh 30 Jun lalu.

Ketiga-tiga anggota itu dilaporkan berkhidmat dengan Hishammuddin sejak beliau menjadi Menteri Pertahanan pada 2013.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan tiga anggota khas ATM yang masih menjadi pengiring kepada Hishammuddin. – WD MY