PUTRAJAYA, 2 Sept – Pengusaha mesin menjual air layan diri perlu memiliki lesen
daripada Kementerian Kesihatan mulai 1 Jan tahun depan, kata Menteri Kesihatan
Datuk Seri Dr S.Subramaniam.

Beliau berkata peraturan itu adalah berikutan berkuatkuasanya Peraturan
360C (4), Peraturan-Peraturan Makanan 1985 di bawah Akta Makanan 1983.

Beliau berkata kos memohon lesen untuk satu unit mesin air itu adalah RM150
bagi tempoh dua tahun.

“Apabila pemilik mesin (jual) air memohon untuk mendapatkan lesen, mesin
miliknya akan diperiksa. Selepas itu pemeriksaan secara rambang akan dijalankan
dari semasa ke semasa,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini hari
ini.

Dr Subramaniam berkata Kementerian Kesihatan akan meletakkan pelekat di
mesin air yang sudah diperiksa dan diberikan lesen untuk rujukan pengguna.

Dr Subramaniam berkata peraturan berkenaan diwartakan pada 24 Sept 2012 dan
Kementerian Kesihatan telah memberi masa untuk pihak industri mematuhinya.

“Justeru, pihak industri digesa supaya tidak menunggu sehingga saat akhir
untuk memohon lesen tersebut. Kita mahu air minuman berada pada standard
mencukupi,” katanya.

Menurut Dr Subramaniam, sehingga kini 2,540 permohonan lesen telah diterima
dan daripada jumlah itu, 59 permohonan diluluskan serta diberi lesen manakala
2,481 permohonan masih dalam proses.

“Jika didapati bersalah di bawah peraturan berkenaan, seseorang boleh
didenda sehingga RM5,000 atau dua tahun penjara,” katanya.

Sejak Ogos 2014 hingga kini, sebanyak 630 mesin jual air telah diperiksa di
seluruh negara dan sebanyak 786 sampel air telah diambil dari mesin yang
terlibat.

Daripada jumlah itu, sebanyak 22 mesin jual air telah disita di mana empat daripadanya
kerana tidak menjaga tahap kebersihan, 10 mengandungi bakteria dan lapan kerana
mendakwa air yang dijual boleh meningkatkan tahap kesihatan seperti memulihkan
tekanan darah dan merawat kencing manis, katanya.-Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY