KAHERAH, 3 Jan – MATI…. Mesir menghukum mati lima pesalah, empat daripadanya terbabit dalam pengeboman mengorbankan kadet tentera, kata pegawai keselamatan.

Tindakan itu dilakukan beberapa hari selepas 15 banduan dijatuhi hukuman mati atas kesalahan menyerang polis dan tentera. Ia adalah pelaksanaan hukuman mati terbesar di Mesir.

Empat daripada pesalah terbabit dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh mahkamah tentera. Tertuduh terbabit dalam pengeboman stadium di utara ibu kota ini pada 2015, mengorbankan tiga kadet tentera.

Tertuduh didakwa ada hubungan dengan pergerakan Ikhwanul Muslimin pimpinan Presiden Mohamed Morsi yang disingkir pada 2013.

Pesalah kelima dijatuhi hukuman gantung akibat kesalahan jenayah, kata sumber.

Hukuman mati terbaharu itu dilaksanakan di penjara Borg al-Arab, barat Iskandariah selepas mahkamah tentera menolak rayuan tertuduh.

Mahkamah turut menjatuhkan hukuman mati ke atas tiga tertuduh yang tidak hadir dan memenjarakan lapan lain termasuk Salah al-Feki, ketua pejabat pentadbiran Ikhwanul Muslimin di Kafr al-Sheikh. – WD MY