KUALA LUMPUR, 30 Sept – Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN mengenai
Tenaga (AMEM) ke-33 dan beberapa mesyuarat berkaitan dijangka menegaskan semula
komitmen bagi meneruskan tenaga bersih di rantau ini.

Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dalam kenyataan hari
ini berkata ia merangkumi tenaga diperbaharui, kecekapan tenaga dan teknologi
bersih bagi memenuhi keperluan tenaga serantau.

“(AMEM) juga meneruskan usaha bagi merealisasikan Grid Tenaga ASEAN dalam
jangka masa terdekat,” katanya.

Bertemakan “Mengukuhkan ASEAN ke arah Komuniti Hijau”, AMEM ke-33 akan
diadakan mulai 5 hingga 9 Okt ini.

Mesyuarat tersebut akan dihadiri para perwakilan dari 10 negara anggota
ASEAN, rakan dialog ASEAN, sekretariat ASEAN dan Pusat ASEAN untuk Tenaga (ACE).

Turut serta ialah Ketua-ketua Pihak Berkuasa Tenaga ASEAN (HAPUA), Majlis
ASEAN mengenai Petroleum (ASCOPE), Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), Institut
Penyelidikan Ekonomi bagi ASEAN dan Asia Timur (ERIA) dan juga
pertubuhan-pertubuhan antarabangsa.

Menurut kenyataan itu Mesyuarat-mesyuarat Tenaga Menteri-menteri akan
diiringi oleh beberapa sesi satelit sepanjang tempoh lima hari mesyuarat AMEM.

Ia termasuklah Forum Perniagaan Tenaga ASEAN 2015, dialog AMEM-IEA ke-5,
Anugerah Tenaga ASEAN serta Mesyuarat Kemuncak Menteri-menteri Tenaga Asia Timur
(EAS EMM) ke-9.-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY