PUTRAJAYA, 14 Mac – Hadir……Menteri Luar Australia, Julie Bishop akan mengadakan lawatan kerja ke Malaysia selama dua hari, bermula hari ini, bagi menghadiri Mesyuarat Menteri Luar, esok.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini memaklumkan, mesyuarat bersama Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman itu adalah di bawah kerangka Perkongsian Strategik Malaysia dan Australia yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan rakan sejawatnya di Australia, Malcolm Turnbull pada 22 November 2015.

“Pada mesyuarat itu, kedua-dua menteri dijangka membincangkan perkembangan kerjasama dua hala sedia ada serta isu serantau dan antarabangsa yang membabitkan kepentingan bersama,” katanya.

Wisma Putra berkata, hubungan diplomatik antara Malaysia dan Australia sejak 60 tahun lalu berkembang dengan baik dan boleh digambarkan sebagai menyeluruh dan substantif.

“Kedua-dua negara menikmati hubungan kerjasama yang erat dalam pelbagai sektor termasuk perdagangan dan pelaburan, pendidikan, keselamatan, pertahanan dan hubungan antara rakyat.

“Jumlah perdagangan dan pelaburan Malaysia dan Australia berjumlah RM42.35 bilion bagi tahun 2016,” katanya. – WD MY