KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Amaran……. Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebentar tadi memberi amaran kepada mereka yang terbabit dengan kegiatan bot kecil, rekreasi dan sukan laut mengenai bahaya keadaan angin kencang dan laut bergelora yang dijangka bermula Selasa hingga Jumaat ini.

Menurut laman web jabatan itu yang dikemas kini jam 6.24 pagi ini, angin kencang Barat Daya dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam (km/j) dan ombak dengan ketinggian mencecah 3.5 meter itu dijangka berlaku di perairan Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

Jabatan itu turut memberi nasihat sama kategori pertama kepada mereka yang berada di perairan Phuket, Condore, Reef North, Layang-Layang dan Palawan berikutan angin kencang serta laut bergelora yang dijangka bermula esok hingga Selasa ini.

Sementara itu, ribut petir di perairan Terengganu dan Pahang, Samui dan Tioman dijangka berterusan sehingga pagi ini.

“Keadaan ini juga boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 km/j dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dan berbahaya kepada bot kecil,” katanya.

Bagaimanapun, tiada sistem Siklon Tropika dicerap di dalam kawasan pemantauan MetMalaysia di latitud 0-20 Utara dan longitud 95-130 Timur. – WD MY

LEAVE A REPLY