KUALA LUMPUR, 2 Mac – Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel dan
tiga yang lain memfailkan kebenaran bagi semakan kehakiman terhadap Pendaftar
Pertubuhan Malaysia (RoS) dan satu lagi bagi membatalkan keputusan RoS berhubung
pemilihan semula jawatan Naib Presiden, beberapa lagi jawatan dalam MIC dan isu
lain dalam kemelut parti itu.

Permohonan itu difailkan pada 24 Feb lepas di Pejabat Pendaftar Mahkamah
Tinggi Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas melalui Tetuan Arbain & Co.

Dalam permohonan itu, Pakas Rao a/l Applanaidoo, selaku pegawai awam bagi
pihak MIC yang juga bekas setiausaha agung parti itu, Palanivel, dan dua Naib
Presiden MIC iaitu Datuk S. Sothinanthan dan Datuk S. Balakrishnan menamakan
mereka sebagai pemohon pertama hingga keempat.

Mereka menamakan RoS dan Menteri Dalam Negeri sebagai responden pertama dan
kedua.

Mahkamah Tinggi menetapkan 9 Mac ini untuk mendengar permohonan itu di
hadapan Hakim Datuk Asmabi Mohamad.

Dalam permohonan itu, mereka antara lain memohon satu perintah certiorari
untuk membatalkan keputusan yang dibuat RoS melalui surat bertarikh 5 Dis lepas,
31 Dis lepas dan 6 Feb tahun ini dan mahu satu pengisytiharan bahawa surat-surat
itu dan perintah yang terkandung di dalamnya adalah salah di sisi undang-undang,
tidak sah, terbatal dan tidak mempunyai kesan undang-undang.

Mereka juga memohon pengisytiharan bahawa perintah dalam surat-surat itu
adalah tindakan yang tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan dan bercanggah
dengan Artikel 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan dan juga Perlembagaan MIC.

Pemohon memohon pengisytiharan bahawa keputusan Mesyuarat Agung Tahunan MIC
itu yang diadakan pada 30 Nov 2013 adalah sah dan berkuat kuasa dan memohon
perintah oleh RoS itu ditangguhkan sementara menunggu pelupusan permohonan
mereka itu di mahkamah.

Keempat-empat pemohon juga memohon satu perintah injunksi sementara bagi
menghalang kedua-dua responden daripada mengambil sebarang tindakan terhadap MIC
mahupun mengeluarkan sebarang arahan terhadap parti itu sehingga permohonan
semakan kehakiman selesai.

Mereka memohon membatalkan surat bertarikh 5 Dis tahun lepas yang antara
lain mengarahkan parti itu mengadakan semula pemilihan jawatan Naib Presiden dan
Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dalam tempoh 90 hari daripada tarikh surat itu
yang mana pemilihan yang dibuat pada 30 Nov 2013, dianggap tidak sah.

Mereka juga memohon bagi membatalkan perintah RoS pada tarikh sama supaya
parti itu mengadakan semula pemilihan jawatankuasa di lapan bahagian dalam
tempoh 60 hari daripada tarikh surat itu.

Pemohon juga memohon membatalkan keputusan RoS melalui surat bertarikh 31
Dis tahun lepas bahawa RoS berpuas hati terdapat pertikaian berkenaan jumlah
perwakilan yang telah dipilih untuk menghadiri Perhimpunan Agung parti itu yang
tidak boleh melebihi 1,500, dan juga terdapat pertikaian dalam jumlah kertas
undi.

Mereka juga memohon perintah certiorari untuk membatalkan keputusan RoS
melalui surat pada 6 Feb lepas, bahawa hanya senarai pemilih dan
cawangan-cawangan yang yang ditubuhkan pada 2102 sahaja boleh diguna pakai untuk
pemilihan semula itu.

Mereka juga mahu membatalkan keputusan RoS bahawa penyertaan
cawangan-cawangan MIC yang tidak sah dalam pemilihan MIC pada 2013 dan pemilihan
peringkat bahagian yang diadakan pada 2015.-Rizalman Has (WD MY)

LEAVE A REPLY