SEREMBAN, 28 Jun – Pemangku Presiden MIC Datuk Seri Dr S.Subramaniam
berkata beliau memberi tumpuan untuk menyelesaikan proses pemilihan
semula parti secepat mungkin bagi membolehkan parti itu kembali kepada keadaan
sedia kala.

“Oleh itu, MIC kini memberi keutamaan untuk menyelesaikan proses pemilihan
semula parti sebelum Oktober ini. Kita mahu menyelesaikan krisis dalaman parti
dan seterusnya memulihkan kembali keadaan parti seperti sedia kala,” katanya
kepada media selepas merasmikan program MySihat di SJK(T) Rantau dekat sini,
hari ini.

Katanya apa yang berlaku sepanjang satu tahun setengah ini telah
mengganggu parti menyebabkannya tidak bergerak langsung.

“Kita tidak boleh di dalam keadaan yang sama dalam satu jangka masa yang
lama kerana ini akan memberi kesan ke atas parti dan masyarakat pada
keseluruhannya.

“Selain itu, ia turut memberi kesan terhadap pencapaian kita pada pilihan
raya umum akan datang. Memandangkan UMNO telah mempunyai keputusan untuk
menangguhkan pemilihan selama 18 bulan dan jika ini telah ditetapkan, kita kena
bersedia,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kesihatan berkata ketua-ketua cawangan dan pemimpin
MIC di peringkat akar umbi perlu memahami perkara ini untuk sama-sama memulihkan
parti agar ia boleh berfungsi dengan segera.

“Kalau kita tidak berbuat demikian maka kita akan menghadapi masalah serius.
Itu yang paling penting dan itu tanggungjawab saya untuk membawa parti kepada
keadaan biasa,” katanya.-Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY