WASHINGTON, 25 NOV – UMUM…. Michael Bloomberg, hari ini, mengumumkan beliau bertanding presiden dengan menyertai beberapa ahli Demokrat dalam mengalahkan rakan bilionaire New York, Presiden Donald Trump.

“Saya bertanding presiden untuk mengalahkan Donald Trump dan membina semula Amerika,” kata Bloomberg, 77, dalam laman web beliau, ketika kempen pengiklanan Bloomberg bernilai AS$30 juta (RM125.16 juta) mula melanda media AS.

Pengumuman itu menghentikan spekulasi niat Bloomberg yang sejak berminggu-minggu memfailkan kertas kerja untuk layak sebagai calon dalam pengundian parti dan berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan raya Persekutuan.

“Kita tidak boleh menerima empat tahun lagi tindakan cuai dan tidak beretika Trump. Beliau ancaman kepada negara dan nilai kita.

“Jika beliau menang sepenggal lagi, kita mungkin tidak akan pulih daripada kerosakan,” kata bekas datuk bandar New York itu.

Dengan kekayaan peribadi sebanyak AS$50 bilion (RM208.61 bilion), Bloomberg akan menggegarkan perlumbaan terbuka itu bersama 17 calon lain yang mahu menjadi calon Demokrat melawan Trump, tahun depan.

Menurut tinjauan seluruh negara, bekas naib presiden; Joe Biden mendahului persaingan di depan calon berhaluan kiri, Elizabeth Warren dan Bernie Sanders dengan calon sederhana, Pete Buttigieg pada kedudukan keempat. – WD MY