KUALA LUMPUR, 13 Feb -. Tan Sri Michelle Yeoh yang dilantik sebagai duta kempen Keselamatan Jalan Raya Safe Steps berkata, isu terbabit sering mencetus kebimbangan dalam dirinya terutama apabila melihat ramai yang terkorban dan cedera disebabkan kecuaian ketika di jalan raya.

“Saya terdorong untuk menyertai kempen ini selepas melihat statistik kemalangan jalan raya yang menyebabkan purata antara 6,000 hingga 7,000 kematian direkodkan setiap tahun di Malaysia.

“Sebagai pelopor Tindakan Sedekad Keselamatan Jalan Raya untuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), saya bangga untuk mempromosikan sama kempen di Asia – tanah kelahiran sendiri. Menerusi mesej yang dibawa, setiap kita mampu memainkan peranan dalam usaha menyelamatkan nyawa,” katanya.

Beliau berkata demikian di sidang media selepas majlis pelancaran Kempen Keselamatan Jalan
Raya SAFE STEPS 2016 di sini hari ini.

Yeoh juga menyeru pengguna jalan raya supaya mematuhi langkah keselamatan setiap kali berada di jalan raya seperti larangan memandu dalam keadaan mabuk, bermain telefon bimbit, memakai tali pinggang keledar, mengawasi had kelajuan pemanduan, motosikal dan pejalan kaki.

Yeoh yang komited dalam kempen keselamatan jalan raya sejak tahun 2008 berkata, mesej itu juga perlu diterapkan kepada golongan muda bermula di institusi persekolahan. – Faizal Dato Badarudin (WD MY)

LEAVE A REPLY