KUALA LUMPUR, 8 Okt – TERBAKAR……… Pengunjung pusat beli belah Mid Valley Megamall di sini cemas apabila berlaku kebakaran kecil di sebuah kedai serbaneka yang terletak di aras bawah bangunan itu malam tadi.

 

Semua pengunjung diarah berkumpul di luar bangunan itu selepas arahan mengosongkan bangunan berkenaan dikeluarkan pada 7.28 malam.

Sementara itu, jurucakap Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur ketika dihubungi berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.10 malam dan tiba di lokasi kejadian kira-kira 10 minit kemudian.

“Kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada 7.33 malam dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih lagi disiasat,” katanya.

Sejumlah 24 pegawai dan anggota dari Balai Bomba Pantai, Hang Tuah dan Seputeh dikerahkan ke lokasi kejadian, katanya.

Beliau berkata dalam kejadian itu tiga mangsa satu lelaki dan dua wanita mengalami sesak nafas dan dihantar ke hospital untuk rawatan.

Sementara itu seorang jurucakap daripada Mid Valley Megamall dalam satu kenyataan berkata pusat membeli belah itu akan dibuka seperti biasa hari ini.

“Kami memohon maaf di atas kebimbangan yang dirasai pelanggan kami dan keselamatan pelanggan dan pengunjung masih merupakan keutamaan kami,” kata beliau.

Jurucakap itu juga mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat dan juga pasukan polis di atas respons segera dan bantuan mereka di dalam kejadian itu. – WD MY