KUALA LUMPUR, 27 Jun – Sahkan Dipintas Jet Indonesia…… Pihak Kementerian Pertahanan mengesahkan menerima laporan insiden sebuah pesawat Charlie C130 dipintas oleh dua jet pejuang Indonesia dalam ruang udara berhampiran Pulau Natuna hari ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu dipintas ketika dalam penerbangan dari Pangkalan Udara TUDM Subang ke Labuan.

“Kita ada menerima laporan berhubung kes berkenaan tapi maklumat lengkap secara sahih belum diperoleh.

“Kita akan meneliti laporan ini memandangkan belum mendapat maklumat lengkap mengenai kes ini,” katanya petang semalam.

Hishammuddin berkata, insiden seperti itu sering berlaku di negara lain dan ia bergantung kepada hubungan dua hala negara berkenaan bagi menyelesaikannya.

Katanya, beliau mempunyai hubungan erat dengan Menteri Pertahanan Indonesia, Ryamizard Riacudu dan sekiranya berlaku insiden antara Indonesia dan Malaysia ia biasanya diselesaikan secara diplomasi.

“Bila sebut Indonesia, saya tak risau kerana kebiasaannya ia dapat diselesaikan dengan baik. Saya berharap media bertanggungjawab dalam membuat laporan supaya tidak mencetuskan emosi kedua-dua negara berjiran,” katanya. – WD MY

LEAVE A REPLY