PUTRAJAYA, 23 SEPT – MENANG….. Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32, Mira Filzah tidak menganggap kontroversi sebagai faktor yang membawa kepada kemenangannya.

Mira sebaliknya, percaya peminat bersikap rasional dan lebih melihat kepada hasil kerja dalam membuat undian.

“Mira tidak rasa kontroversi menjadi faktor utama kemenangan pada malam ini. Kalau ada pun kontroversi, produk yang Mira berikan lebih menyerlah dan mengaburi cerita sensasi yang ada.

“Kebetulan ketika proses undian, drama Sweet Dreams disiarkan, jadi ia memberi impak terhadap populariti Mira,” katanya.

Sebelum ini, pelakon Sangkar itu sering terkait dengan cerita panas berkaitan gosip cinta bersama Zizan Razak, selain Remy Ishak.

Penampilannya juga pernah menjadi bahan kecaman netizen yang dikatakan tidak sesuai dengan imejnya sebagai wanita berhijab.

Diusik pertanyaan apakah selepas ini nilainya akan menjadi mahal, Mira pantas menyangkal.

“Bagi Mira, kualiti perlu sering dengan populariti. Harga bukan segala-galanya. Mira masih sama,” katanya yang turut memenangi trofi Pelakon TV Wanita Popular Alha Alfa, Pelakon Filem Wanita Popular dan Gandingan Serasi TV Popular bersama Remy Ishak. – WD MY