KUALA LUMPUR,OKTOBER 17:GILAP…. Datuk Misbun Sidek memerlukan tempoh sekurang-kurangnya dua hingga tiga tahun bagi melahirkan jaguh dunia dalam acara perseorangan lelaki.

Ketua jurulatih negara itu berkata, seperti yang dilakukannya ke atas Datuk Lee Chong Wei, pemain berkenaan mengambil masa lima tahun untuk mencipta nama sebagai pencabar utama dunia.

Katanya, Malaysia ketika ini memiliki pemain berpotensi seperti Lee Zii Jia, Leong Jun Hao, Cheam June Wei dan Tan Jia Wei tetapi mereka perlu bekerja keras untuk bersaing di tahap tertinggi.

“Sejak saya kembali ke BAM (Persatuan Badminton Malaysia) setahun lalu, saya dapat lihat pemain yang berpotensi dan boleh diketengahkan. Namun, saya memerlukan masa untuk membentuk mereka menjadi pemain yang kita hajatkan,” kata Misbun.

“Seperti Chong Wei dulu, ambil masa lima tahun untuk bentuk dia dan membuatkan dia menyerlah di pentas antarabangsa. Saya baru setahun di BAM sekarang, jadi saya perlukan beberapa lagi waktu untuk membentuk pemain yang ada.”

Skuad badminton negara ketika ini dalam situasi terdesak bagi melahirkan jaguh dunia dalam acara perseorangan lelaki apatah lagi selepas Chong Wei yang selama ini menjadi penyelamat disahkan menghidap kanser hidung tahap awal.

Masa depan pemain berusia 36 tahun itu masih samar dan belum pasti dapat kembali beraksi.

Misbun menyifatkan prestasi pemain muda yang ada sekarang masih di tahap pertengahan dan memerlukan masa untuk mencapai tahap tertinggi sekali gus menjadi pencabar kepada jaguh dunia yang lain.

“Seperti June Wei, dia sudah memenangi gelaran di Belanda, Zii Jia pula namanya mula besar, Jun Hao menang remaja Asia dan Jia Wei baru menang Sukma (Sukan Malaysia). Ini semua masih di tahap pertengahan.

“Untuk mencapai tahap tertinggi mereka perlu beraksi pada kejohanan bertaraf Jelajah Dunia 750 atau 1000. Namun, mereka belum capai tahap itu untuk beraksi dalam kejohanan berkenaan…jadi mereka perlukan masa,” katanya.-MY WD