KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Serah…… Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), ruang pameran terbesar di negara ini, merupakan satu lagi contoh projek penting yang dibangunkan mengikut bajet dan jadual.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata MITEC juga menjadi suatu contoh bagaimana rancangan kerajaan telah dapat dilaksanakan dan terus dapat dilaksanakan untuk manfaat rakyat Malaysia, setelah tiga minggu lepas, mereka menyaksikan siapnya projek MRT berkelas dunia.

“Sungguh tidak masuk akal jika mendakwa ekonomi kita gagal, seperti yang dilakukan sesetengah pihak daripada pembangkang,” katanya pada majlis penyerahan MITEC kepada kerajaan malam tadi.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed menerima bangunan berharga RM628 juta itu daripada pengerusi eksekutif kumpulan/ketua pegawai eksekutif kumpulan Naza Group SM Nasarudin SM Nasimuddin.

Najib berkata MITEC juga akan menjadi suatu contoh penting kerana ia merupakan bangunan pertama yang terletak di kawasan pembangunan bercampur berimpak tinggi baharu – KL Metropolis, di Persiaran Dutamas di sini.

 

“Bandar baharu dalam bandar raya ini, yang meliputi kawasan seluas 30 hektar, dilengkapi menara pejabat, kemudahan perbankan, kondominium mewah, suit kesejahteraan, pusat gaya hidup, kedai, kediaman servis dan hotel bertaraf empat hingga enam bintang.

“Semua kemudahan ini dirancang untuk menjadikan KL Metropolis destinasi bagi industri mesyuarat, insentif, acara dan pameran – dikenali sebagai MICE – di rantau ini dan rantau lain.

Najib berkata dengan menggabungkan reka bentuk songket yang unik serta halus pada bahagian fakadnya, MITEC mempunyai kawasan binaan seluas 1.5 juta kaki persegi dan ruang kasar pameran seluas 488,000 kaki persegi.

Katanya, MITEC boleh menampung hampir 47,700 pengunjung dilengkapi tempat duduk gaya panggung dan 28,300 tetamu di ruang bankuet pada satu-satu masa.

Ia mempunyai 11 dewan pameran merangkumi tiga tingkat, sebuah dewan serba guna, bilik mesyuarat dan persidangan, kemudahan media dan akhbar, ruang istirahat, restoran dan tempat menjamu selera.

 

Perdana menteri berkata, dengan memiliki kemudahan penuh berseni, MITEC akan meletakkan Malaysia di peta industri MICE, membawa masuk pengembara perniagaan dan liburan baharu ke negara ini, mewujudkan suatu lambang bikon kecemerlangan baharu serta mewujudkan pekerjaan dan meningkatkan paras kemahiran serta gaji untuk kebaikan rakyat Malaysia.

“Menurut Persatuan Kongres dan Konvensyen Antrabangsa, Kuala Lumpur menduduki ranking kelapan di Asia Pasifik dan ke-28 di peringkat global sebagai bandar raya pusat konvensyen, manakala dalam kalangan negara, Malaysia menduduki ranking ketujuh di rantau ini dan ke-30 di dunia,” kata beliau.

Najib berkata, tahun lepas, industri MICE Malaysia menarik 111,298 anggota perwakilan ke 153 acara dan menjana hasil RM1.035 bilion.

Menjelang 2020, pelancongan peniagaan diramal menyumbang RM3.9 bilion kepada pendapatan kasar negara serta mewujudkan 16,700 pekerjaan, katanya.

Sementara itu, menurut Najib, orang ramai akan dapat menikmati kehebatan projek itu tidak lama lagi apabila MITEC mula beroperasi menjelang berlangsungnya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan Sukan Para ASEAN 2017.

Sembilan acara, termasuk gimnastik berirama, angkat berat, lawan pedang dan hoki tertutup, akan berlangsung di situ. – WD MY