MKN, JPM Dan Beberapa Agensi Kerajaan Serta NGO Akan Selaras Tabung QDF

MKN, JPM Dan Beberapa Agensi Kerajaan Serta NGO Akan Selaras Tabung QDF

578
0

PUTRAJAYA 17 Feb – Diselaraskan……. Pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri dengan beberapa kementerian dan agensi kerajaan lain serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan dilantik bagi menyelaraskan Tabung Pembangunan Qatar (QDF) untuk menjaga kebajikan etnik Rohingya di Malaysia kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata, bantuan kewangan tersebut yang disediakan oleh kerajaan Qatar bertujuan menjaga kebajikan sebanyak 56,136 orang etnik Rohingya yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) di negara ini.

“Dana ini adalah bagi melaksanakan tiga aspek utama untuk etnik Rohingya, Myanmar yang memegang kad UNHCR di Malaysia iaitu latihan, pendidikan dan kesihatan yang pastinya dapat memberi kesan positif dalam jangka panjang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, beliau mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa tertinggi mengenai pengurusan etnik Rohingya, Myanmar yang memegang kad UNHCR di Malaysia di Bangunan Perdana Putra di sini.

Kerajaan Qatar semasa lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri ke negara tersebut pada 4 hingga 7 Februari lalu mengumumkan untuk memberi sumbangan kewangan melalui QDF kepada etnik Rohingya di Malaysia.

Beliau berkata, dari segi latihan kemahiran, Kementerian Dalam Negeri telah melancarkan projek perintis kebenaran bekerja kepada 300 etnik Rohingya di Malaysia bermula 1 Mac ini di sektor perladangan dan perkilangan untuk tempoh tiga tahun sementara menunggu masa untuk pulang ke negara asal atau ditempatkan di negara ketiga. – WD MY