PETALING JAYA, 11 Sept – Model pembangunan koperasi yang dilaksanakan di
negara ini menjadi tarikan dan inspirasi kepada negara-negara membangun dalam
menyumbang kepada pertumbuhan sektor ekonomi negara masing-masing.

Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk
Seri Ahmad Bashah Md Hanipah ia merupakan perkembangan positif dalam
bidang koperasi negara yang mampu menyumbang kepada pengukuhan sektor
perniagaan, pembangunan taraf ekonomi rakyat serta platform rangkaian kerjasama
strategik.

“Bukan bermakna kita yang terbaik, bagaimanapun untuk berkongsi pengalaman,
polisi dan pembangunan dalam bidang koperasi ini merupakan usaha serantau yang
proaktif untuk dipraktikkan. Kita juga dapat belajar daripada sistem dan
teknologi negara lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Kursus
Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) di Maktab Koperasi Malaysia (MKM) hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Bashah berkata kerajaan akan mengeluarkan
garis panduan mengenai larangan membawa haiwan peliharaan di semua pasar raya
dan pusat membeli belah dalam masa terdekat.

“Garis panduan yang akan dikeluarkan bukan untuk menyekat hak sesiapa tetapi
untuk kesejahteraan rakyat khususnya ketika membeli-belah, kita tidak mahu
timbul rasa tidak selesa dalam kalangan mana-mana pihak hingga tercetus isu-isu
yang sensitif,” katanya.

Beliau berkata ketika mengulas insiden pengguna yang membawa anjing ke dalam
pasar raya Tesco Extra Plentong, Johor Bahru minggu lepas.-Faizal Dato Badarudin (WD MY)

LEAVE A REPLY