SHAH ALAM, 5 Ogos – Bakal Bentang Ke Jemaah Kabinet… Modul Silang Budaya, satu modul baharu yang bercorak kepelbagaian budaya akan diusulkan kepada Jemaah Kabinet, pada 8 Ogos ini, bagi panduan dan kegunaan guru di sekolah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal perpaduan, Tan Sri Joseph Kurup, berkata modul baharu itu menitikberatkan aspek pemahaman dalam kelompok budaya yang berbilang bangsa dan agama di negara ini.

Katanya, modul berteraskan hubungan kesederhanaan itu bertujuan mengeratkan hubungan di antara kaum, sekali gus mengelakkan timbul isu bersifat perkauman terutama di peringkat sekolah.

Beliau berkata, modul itu digubal sejak tahun 2014 untuk dijadikan panduan Guru Penasihat Kelab Rukun Negara (KRN) dan akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet bagi kelulusan.

“Modul berkenaan bukan sekadar menekankan aspek budaya dan adat resam antara kaum, sebaliknya ia turut mengambil kira aspek kenegaraan, patriotisme serta jati diri dan moral masyarakat bagi melahirkan generasi berakhlak, bersahsiah dan bertoleransi.

“Ia juga digubal supaya bersesuaian dengan kefahaman guru dan pelajar bagi memudahkan aktiviti KRN dirancang dan dilaksanakan mengikut kegiatan di sekolah.

“Pada masa sama, kita akan pastikan penghayatan amalan prinsip Rukun Negara turut dijadikan asas modul bagi memupuk nilai patriotik dalam diri pelajar,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Kem Silang Budaya KRN di Kem Bumi Jati Jalan Kebun, di sini, hari ini.

Kem Silang Budaya yang julung kali diadakan dengan kerjasama Bahagian Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan itu digubal oleh Universiti Putra Malaysia (UPM), membabitkan 200 guru dan pelajar berbilang kaum dari 20 sekolah di sekitar Lembah Klang. – WD MY

LEAVE A REPLY