SEREMBAN, DISEMBER 11: RCI..Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mencadangkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menjalankan siasatan terhadap isu kedudukan kewangan Tabung Haji (TH).

Beliau berkata, laporan siasatan dan audit syarikat juruaudit bebas, PricewaterhouseCoopers (PwC) yang dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf di Parlimen hari ini, mengundang kerisauan semua pihak.

Oleh itu, katanya, satu siasatan secara mendalam, terperinci dan benar mesti dilakukan dengan segera lagi tegas.

Menurutnya, penubuhan RCI perlu bagi membolehkan kerajaan mengetahui dengan lebih jelas mengenai isu terbabit dan mencari jalan terbaik mengukuhkan kembali institusi penting berkenaan.

“Kita mesti melihat isu ini dalam konteks yang besar, bukan saja berkaitan soal pemberian hibah yang tidak mengikut prosedur dan peruntukan TH, tetapi yang lebih mendasar ialah ia menggambarkan kewujudan krisis tadbir urus korporat dan pengurusan yang tidak mengikut amalan terbaik.

“TH adalah institusi milik orang Melayu dan Islam, masyarakat awam secara umum berhak mengetahui kedudukan sebenar institusi ini dan kebenaran hanya akan terbit daripada siasatan yang telus, tidak berpihak dan menyeluruh,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurut Mohamad lagi, cara terbaik membela kepentingan Melayu dan Islam adalah dengan memastikan institusi berkenaan diuruskan dengan sebaiknya dan tidak dibiarkan susut nilai serta dipergunakan.

Portal berita hari ini melaporkan, pemberian hibah kepada pendeposit TH sejak 2014 bercanggah dengan Akta Lembaga Tabung Haji 1995 sehingga menyebabkan agensi itu mengalami defisit RM4.1 bilion.-MY WD