Puchong, 26 Mei – MOJO yang tampil dengan single terbarunya iaitu Dahsyat yang mendapat tempat di hati pendengar tidak melupakan insan-insan yang memerlukan perhatian dan bantuan.

Bertempat di Rumah Rawatan dan Jagaan Orang Tua Al-Ikhlas (Rumah Al-Ikhlas) di sini, anggota kumpulan MOJO sendiri hadir bersama-sama meluangkan masa bersama orang-orang tua yang merupakan penghuni di Rumah Al-Ikhlas bagi menghargai dan meraikan mereka sempena sambutan Hari Ibu yang lalu, juga sekaligus meraikan Hari Bapa yang bakal tiba.

Aktiviti amal yang dinamakan #DahsyatKasihMOJO itu merupakan acara tanggungjawab sosial masyarakat yang dicetuskan MOJO ini adalah bagi menghargai setiap pengorbanan mereka yang lebih tua, seiring dengan single terbaru MOJO, ‘Dahsyat’ yang menunjukkan betapa dahsyatnya sifat kasih sayang itu mampu memberi makna dan menyerikan lagi hidup seseorang itu.

Menurut Edry, aktiviti tersebut merupakan salah satu cara untuk mereka menghargai individu dan golongan tua yang telah banyak berbakti dan berkorban dalam kehidupan ini.

“Kami begitu bersyukur dapat meluangkan masa untuk bersama-sama dengan penghuni-penghuni di Rumah Al-Ikhlas ini kerana apa yang mereka mahukan bukanlah harta atau wang ringgit, tetapi hanya masa untuk bersama-sama dan berborak bersama mereka,” katanya ketika ditemui WartaDaily MY di sini.

Aktiviti amal ini juga turut di sertai oleh dua kumpulan kereta tempatan ProSat Motorsports dan Sagat Crew Ladies Motorsports yang membawa MOJO sepanjang perjalanan ke Rumah Al-Ikhlas melibatkan hampir 15 buah kereta yang disertai hampir 60 orang telah berkonvoi dari bangunan KRU Studios ke lokasi yang terletak di Pulau Meranti itu.

Kunjungan MOJO ke Rumah Al-Ikhlas serba sedikit dapat memberikan kegembiraan kepada para penghuni di mana mereka telah beramah mesra, mendengar luahan hati dan mengisi masa mereka di sana.

Edry selaku ketua kumpulan MOJO turut menghulurkan cek sumbangan kepada pengasas Rumah Al-Ikhlas, Muji Sulaiman yang mana hasil daripada derma ikhlas orang ramai ketika Ryan dan Denny ber’busking’ di KRU Studios.

Para penghuni Rumah Al-Ikhlas turut disajikan dengan hidangan yang telah disediakan oleh krew ProSat Motorsports dan Sagat Crew Ladies Motorsports.

Harapan Edry dan anggota kumpulan di dalam MOJO sendiri dengan tema #DahsyatKasihMOJO berharap dapat menggalakkan orang ramai untuk berbakti dan memberi semula kepada masyarakat dan menyemai nilai-nilai murni antara manusia.

“Alhamdulillah, kehadiran kami ke sini dapat memberi sedikit senyuman kepada mereka dan di kesempatan ini juga saya menyeru kepada semua supaya hormatilah kedua-dua orang tua kita dan jagalah mereka dengan penuh kasih sayang sementara kita masih dapat bersama mereka”, katanya. – Faizal Dato Badarudin (WD MY)

LEAVE A REPLY