KUALA LUMPUR, MEI 5 – BR1M…Anak Pengerusi Pakatan Harapan yang juga antara individu terkaya di Malaysia, Tan Sri Mokhzani Mahathir  tidak layak untuk bercakap mengenai penerima BR1M apatah lagi dengan gaya yang menghina golongan tersebut.

Sebagai orang kaya dengan harta  mencecah nilai berbilion ringgit hasil keistimewaan yang dinikmati semasa bapanya Tun Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri, kenyataan Mokhzani hanya memberi gambaran beliau seorang yang bongkak dan sombong.

“Semua tahu bagaimana Mokhzani mengumpul harta kekayaan sehingga mencecah billion rinngit dalam tempoh yang begitu singkat. Malah, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri pernah beberapa kali membuat pendedahan syarikat Mokhzhani iaitu Kenchana Petroleum menerima projek terbanyak dalam Petronas ketika itu.

“Ketika itu juga, bapa anda, Tun Mahathir adalah Penasihat Petronas. Kita sedia maklum bagaimana anda kumpul harta kekayaan itu. Tidak semua orang terutama golongan penerima bantuan BR1M itu sebenarnya mempunyai bapa sehebat anda yang mampu menjana berbilion ringgit untuk anaknya. Tidak semua bertuah seperti anda (Mokhzani),” kata Datuk Seri D. Vell Paari,

Bendahari Agung MIC itu itu juga menyifatkan kenyataan Mokhzhani itu sebagai hipokrit kerana pakatan harapan sendiri tidak berhasrat memansuhkan BR1M sekiranya memerintah.

“Jawapannya sangat mudah, hakikatnya pembangkang sedia maklum inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan sebenarnya sangat bagus namun tidak mahu langsung mengakui secara terbuka sebaliknya melakukan pelbagai kempen untuk membuatkan rakyat keliru dan benci,” tegasnya.

Vell Paari juga menasihati Mokhzhani supaya belajar menghormati semua golongan, tidak kira kaya atau miskin selain tidak merasakan dirinya hebat sehingga dengan selamba boleh menghina orang lain.

Menurut beliau lagi, kerajaan sekurang-kurangnya telah melakukan pelbagai inisiatif untuk mengurangkan beban rakyat bukan hanya membuat ‘bising’ di atas pentas ceramah sahaja.

Mokhzani dalam satu ceramah di FELDA Sungai Tiang, Pendang, Kedah, malam kelmarin mendakwa, meskipun kerajaan gembira kerana mampu membantu rakyat menerusi BR1M, rakyat sebenarnya lupa bantuan itu menunjukkan mereka tidak mampu menyara kehidupan sendiri.

Pada ceramah sama, Mokhzani turut mengatakan janji kerajaan untuk mewujudkan tiga juta peluang pekerjaan dianggap tidak pasti kerana apa yang dilihat dalam projek mega seperti di Kuantan dan Johor Bahru, dilaburkan untuk China hanya menguntungkan pihak luar.-MY WD