PUTRAJAYA, 8 April – Lanjut Moratorium…..Kabinet hari ini bersetuju melanjutkan moratorium perlombongan bauksit di Kuantan untuk tempoh tiga bulan lagi.

Menurut Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata moratorium yang sepatutnya berakhir 15 April ini, dilanjutkan bagi membolehkan stok simpanan bauksit sedia ada dieksport.

“Ketika ini, hampir empat juta metrik tan stok simpanan bauksit masih berada di tiga lokasi iaitu Pelabuhan Kuantan, di luar kawasan pelabuhan dan di kawasan pelombongan.

“Dalam tempoh ini, semua stok simpanan perlu dikosongkan dan dieksport bagi membolehkan kawasan dibersihkan. “Sekiranya dalam tempoh lanjutan tiga bulan ini tidak dapat diselesaikan (pengeksportan dan pembersihan bauksit), kita akan mohon kepada Kabinet untuk dilanjutkan,” katanya pada sidang media di sini.

Beliau berkata, kementeriannya akan menjadi pemudah cara untuk pengeksportan bauksit dengan memberi permit eksport (AP) mengikut kapasiti bulanan sama ada melalui Pelabuhan Kemaman atau Pelabuhan Kuantan. – CF (WD MY)

LEAVE A REPLY