KUALA LUMPUR, 30 Nov –  IKTIRAF….. Pihak Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC) tetap mengiktiraf Airbnb, penyedia perkhidmatan dalam talian bagi mengiklan, mencari dan menempah penginapan percutian walaupun ada pihak berkuasa tempatan (PBT) enggan berbuat demikian.

Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata jika tempahan penginapan diuruskan Airbnb melebihi lima bilik dan dikendalikan satu syarikat, pelanggan perlu membayar cukai pelancongan RM10 kepada kerajaan.

Beliau berkata, PBT tertakluk kepada undang-undang sendiri yang mungkin menyebabkan mereka enggan mengiktiraf perkhidmatan Airbnb yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

“Di peringkat negeri, kita kutip cukai pelancongan daripada mereka sekalipun ada PBT tidak mengiktiraf. Kita iktiraf mereka untuk kutip cukai daripada pelanggan.

“Jika ada negeri tidak mahu iktiraf Airbnb, dari segi PBT itu hak mereka tetapi dari segi pematuhan terhadap Akta Cukai Pelancongan 2017, kita akan kutip cukai (pelanggan Airbnb) kerana jika tidak, kita tidak berlaku adil kepada pengusaha hotel lain.

“Soal PBT adalah soal pengeluaran lesen, itu mereka punya hal tetapi dari segi kita, kalau PBT tidak mengiktiraf Airbnb, tutup teruslah dan jangan beri mereka berniaga… itu bukan masalah kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Industri Pelancongan (Pindaan) 2017 di Dewan Rakyat hari ini.

Rang undang-undang itu diluluskan tanpa pindaan dengan lebih suara bersetuju. – WD MY