KUALA LUMPUR, 2 Sept – Bersempena sambutan ke-25 tahun, Grand Prix Motosikal
Malaysia tahun ini bakal menjadi perlumbaan terbaik dan terbesar pada ketika Sepang
International Circuit (SIC) menyasarkan rekod jumlah penonton seramai 130,000 orang.

“Ini adalah tahun yang sangat istimewa untuk MotoGP Malaysia yang akan
menyambut ulang tahun ke-25.

“MotoGP Malaysia yang diadakan dari 23 hingga 25 Okt akan terus memberikan
keseronokan kepada peminat dan ini dapat dilihat dengan peningkatan jumlah
penonton secara konsisten setiap tahun.

“Sejak lima tahun terakhir, kami mencatatkan kehadiran lebih daripada
120,000 orang sepanjang tiga hari perlumbaan iaitu dari tahun 2010 hingga 2014.

“Tahun ini, peminat boleh menjangkakan beberapa aktiviti menarik bersempena
sambutan jubli perak perlumbaan ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk
Razlan Razali pada majlis pelancaran rasmi Grand Prix Motosikal Malaysia, di
sini.

Beliau berkata, tiket bagi perlumbaan tahun lepas habis dijual seminggu
sebelum acara itu dilangsungkan.

“Acara antarabangsa seperti MotoGP memerlukan sokongan penonton tempatan.
Sejak lima tahun terakhir, 80 peratus penonton adalah peminat tempatan.

“Kami juga berjaya menarik penonton dari negara jiran seperti Thailand,
Singapura dan Indonesia. Sehingga minggu lepas, kami sudah menjual 8,000 pakej
di Indonesia.

“Berikutan penurunan nilai mata wang negara, ia semakin menarik minat
penonton dari negara jiran serta dari Australia dan Eropah. Kami perlu mengambil
peluang ini walaupun terpaksa berbelanja untuk melakukan promosi,” kata Razlan.

Mengenai sama ada pelumba tempatan akan diberikan tiket wildcard kali ini,
Razlan berkata, ia bergantung kepada prestasi pelumba itu sendiri.

“Setakat ini ada ura-ura akan ada pelumba wildcard dalam MotoGP Malaysia
kali ini. Bagaimanapun, ia tertakluk kepada prestasi pelumba itu ketika beraksi
di Litar Aragon nanti,” katanya.-Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY