SHAH ALAM,OKTOBER 19:  PENJELASAN…Ahli Parlimen Batu Kawan, P Kasthuriraani mesti menjelaskan semula maksud sebenar kenyataannya dalam Parlimen yang menyentuh soal agama di negara ini.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata kenyataan tersebut ternyata telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan umat Islam.

“Beliau mesti menjelaskan semula maksud sebenar kenyataannya itu. Jika beliau telah timbulkan kekeliruan, maka beliau mesti menarik balik kenyataan itu supaya tidak menimbulkan ketegangan berpanjangan.

“Kebimbangan ini tercetus kerana sekarang ini bertubi-tubi hal agama dibangkitkan jadi apabila ditambah pula dengan kenyataan seperti ini, ia menambahkan lagi rasa tidak senang umat Islam,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas ucapan Ahli Parlimen DAP itu yang mendesak Kementerian Luar untuk meratifikasi ‘International Convention Against All Forms of Racial Discrimination, Convenant on Civil and Political Rights’ (ICCPR) di Dewan Rakyat, kelmarin.

Malaysia dijangka meratifikasi konvensyen tersebut menjelang Semakan Berkala Sejagat Hak-Hak Asasi Manusia PBB Sesi Ke-31 yang dijadual berlangsung pada 8 November 2018 di Geneva, Switzerland.

Mengulas lanjut, Mohd Azmi berkata Kasthuriraani tidak perlu mewujudkan kontroversi berkaitan hal agama di negara ini.

“Tidak perlu Ahli Parlimen DAP itu mewujudkan kontroversi terhadap kedudukan Islam ini sedangkan beliau sendiri dan semua telah maklum bahawa kontroversi terhadap agama Islam ini akan membangkitkan isu yang tidak sihat apabila kedudukan islam itu jadi satu topik yang dipersoalkan.

“Kita kesal kalau tujuan beliau membangkitkan itu adalah untuk melontarkan idea supaya kedudukan Islam itu sama rata atau kebebasan beragama itu seperti di negara-negara lain atas nama hak asasi manusia. Itu tidak boleh kita pakai dalam konteks Malaysia,” katanya.

Jelasnya, hal berkaitan agama di bawah bidang kuasa agensi agama dan Raja-raja Melayu di negara ini yang telah dipersetujui sejak negara mencapai kemerdekaan.

“Persetujuan sejak kemerdekaan lagi bahawa kita mempunyai senario yang berbeza dengan negara-negara lain dari sudut kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan. Hal-hal agama Islam ini adalah di bawah bidang kuasa agensi agama dan Raja-raja Melayu.

“Jadi, saya kira apa-apa ulasan sama ada dalam Parlimen atau di luar yang menyentuh kedudukan Islam itu tidak boleh dibuat secara serampang begitu walaupun dengan alasan tidak melanggar Perlembagaan,” katanya.-MY WD

Semalam, portal Ismaweb mendakwa ucapan Kasthuriraani mempersoal kedudukan Islam namun Kasthuriraani menafikannya sambil mendesak portal berita berkenaan menarik semua artikel tersebut.