KUALA LUMPUR, 3 Nov – Dihalau Keluar……. Seorang Ahli Parlimen Bukit Mertajam daripada DAP, Steven Sim Chee Keong diarah keluar dewan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia selepas mempertikaikan ketetapan dewan menolak usul untuk merujuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

Pandikar Amin mengarahkan Bentara Dewan Rakyat mengiringi Chee Keong keluar dari dewan berikutan Ahli Parlimen itu enggan duduk selepas diarah berbuat demikian sebanyak lima kali, selain tidak mahu menerima penjelasan.

“Duduk YB, apa sebab mahu bertengkar dengan Speaker, mengikut Peraturan Mesyuarat 43, kalau tidak bersetuju dengan tindakan Speaker, YB boleh kemukakan usul persendirian, saya tidak boleh menarik balik keputusan kalau tiada usul dibuat,” katanya.

Insiden itu berlaku selepas sesi soal jawab berakhir jam 12 tengah hari apabila Chee Keong bangun mempertikaikan keputusan Pandikar Amin menolak usul dibawa mengikut Peraturan Mesyuarat 36(12) pada 27 Oktober lalu.

Chee Keong menulis sepucuk surat kepada Pandikar Amin untuk merujuk Ahli Parlimen Pekan (Perdana Menteri) kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana ucapan Bajet 2017 didakwa mengelirukan dewan.

Sebelum itu, Pandikar Amin berkata, beliau menolak usul itu kerana tidak wujud prima facie atau keraguan yang munasabah untuk merujuk Ahli Parlimen Pekan ke jawatankuasa berkenaan.

“Apabila tiba masa Kementerian Kewangan menggulung dalam soal dibangkitkan, biarlah nanti YB berdiri meminta penjelasan kerana mereka mempunyai penjelasan tertentu.

“Mereka yang menyediakan bajet itu mempunyai pengalaman dan kepakaran, bukan macam YB yang belum sepenggal (berada di Dewan Rakyat),” katanya.

Kekecohan itu berterusan apabila Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah) terus mempertikaikan dan mendakwa tindakan Pandikar Amin itu sebagai zalim sehingga memaksa Yang Dipertua meminta perkataan itu ditarik balik.

Kit Siang akhirnya akur dengan arahan itu. – WD MY