KUALA LUMPUR, 7 OKT – BANTAH…..Anggota Parlimen pembangkang menentang sekeras-kerasnya terhadap 24 pindaan baru dalam Rang Undang-undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC), yang dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat oleh Menteri Undang-undang Liew Vui Keong hari ini.

Anggota Parlimen Tanjong Karang, Noh Omar berkata beliau mempunyai pengalaman lebih 20 tahun sebagai anggota parlimen namun belum pernah melihat begitu banyak pindaan terhadap RUU baru itu.

“Ada 24 pindaan, kenapa tidak bawa ke jawatankuasa pilihan terlebih dulu, seperti yang biasa dilakukan?” kata Noh Omar selepas Liew selesai membentangkan RUU itu hari ini.

Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) turut menyuarakan ketidakpuasan hatinya dengan mengatakan tidak wajar meminta anggota parimen terus berbahas kerana mereka hanya dimaklumkan pindaan berkenaan hari ini.

Timbalan Speaker, Rashid Hasnon meminta perbahasan mengenai RUU itu dimulakan, menyaksikan protes daripada anggota parlimen pembangkang.

Wee berkata keputusan itu ibarat ‘berkahwin dahulu dan kemudian baru berbincang mengenainya’.

Rashid kemudian berkata mereka boleh menyuarakan ketidakpuasan hati ketika sesi perbahasan.

Noh yang sependapat dengan Wee berkata mereka tidak seharusnya memulakan perbahasan mengenai RUU itu kerana ia sepatutnya dibawa ke jawatankuasa khas terlebih dahulu.

Katanya sekiranya diteruskan ia membuang masa kerana perlu berbahas sebanyak dua kali.

Hishammuddin Hussein (BN-Sembrong) juga mempertahankan bantahan tersebut, dengan mengatakan RUU IPCMC adalah berkaitan pasukan polis dan harus dikendalikan dengan hormat.

Sementara itu Azalina Othman Said (BN-Pengerang) menegaskan prosedur biasa untuk pindaan sedemikian adalah melalui jawatan kuasa pilihan terlebih dahulu.

Selain ahli parlimen pembangkang, Hassan Abdul karim (PH-Pasir Gudang) turut menyuarakan kebimbangan terhadap perkara tersebut dengan mengatakan ia seharusnya dibawa ke jawatankuasa pilihan khas parlimen.

Cadangan Hasan turut menyaksikan ahli-ahli parlimen dari pembangkang turut menyuarakan sokongan mereka.

Bagaimanapun, pertikaian itu masih tidak dapat diselesaikan memandangkan timbalan speaker menangguhkan persidangan untuk waktu makan tengah hari pada jam 1 petang.

Terdahulu hari ini, timbalan menteri undang-undang Hanipa Maidin membentangkan usul untuk melanjutkan persidangan hari ini sehingga selesai bacaan kedua berkenaan RUU IPCMC.

Perkara itu juga mendapat tentangan daripada anggota parlimen pembangkang yang menegaskan isu itu melibatkan kepentingan awam dan perlu diteliti dengan cermat terlebih dahulu.

Speaker Mohamad Ariff Md Yusof akhirnya memutuskan untuk memihak kepada usul dibawa Hanipa. – WD MY