KUALA LUMPUR, 23 Nov – Terlepas…… Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng terlepas daripada penggantungan selama enam bulan daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selepas memohon maaf secara terbuka kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Lip Eng membuat permohonan maaf selepas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee memberi peluang kepada pemimpin DAP itu memohon maaf terhadap Pandikar.

“Saya bersedia menarik balik perkataan kesat terhadap Speaker,” kata Lip Eng.

Kiandee kemudian bertanya kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said yang mencadangkan usul menggantung Ahli Parlimen Segambut sama ada kerajaan bersedia menarik balik usul itu memandangkan Lip Eng sudah memohon maaf.

Azalina berkata, kerajaan memutuskan untuk menarik balik usul berkenaan selepas dimaklumkan Pandikar Amin tiada masalah menerima permohonan maaf itu.

“Namun, Ahli Yang Berhormat patut memohon maaf secara peribadi terhadap Yang Dipertua Dewan Rakyat,” katanya.

Terdahulu, ketika membentangkan usul penggantungan itu, Azalina berkata, Lip Eng mempersoal kuasa Yang Dipertua Dewan Rakyat, mengeluarkan kenyataan menghina Pandikar Amin dengan berkata ‘You are a disgrace to Parliament… we are elected and you are appointed’.

Katanya, Ahli Parlimen Segambut itu juga mempertikai dan memperlekeh keputusan Pandikar Amin berhubung pertanyaan serta usul berkaitan tindakan sivil Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat mengenai isu subjudis pada 23 Oktober lalu.

“Lip Eng juga mengeluarkan kenyataan pada 7 April lalu mendakwa Yang Dipertua gagal menambah baik Parlimen dan meminta Pandikar Amin meletakkan jawatan.

“Perbuatan dan kenyataan dibuat Yang Berhormat Segambut adalah penghinaan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat sebagai Pengerusi Dewan dan bererti menghina Dewan Rakyat yang turut mencemarkan nama baik serta prestij Dewan Rakyat,” katanya. – WD MY