KUALA LUMPUR, 2 Dis – BANTU…. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu Majlis Perundingan Melayu (MPM) mengetepikan isu remeh, sebaliknya bersama kerajaan membantu melaksanakan agenda Melayu dan negara.

Ahmad Zahid berkata, MPM tidak harus membiarkan pandangan dan idea tokoh ilmuwan serta profesional Melayu sekadar menghiasi kertas persidangan, seminar mahupun kongres.

Sebaliknya, beliau berkata, ia perlu diterjemah demi pembinaan bangsa, agama dan negara.

Ahmad Zahid, MPM yang menggabungkan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan keanggotaan dalam kalangan tokoh ilmuwan dan profesional Melayu harus mengutamakan agenda lebih besar dan holistik bagi membantu kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Saya mahu lihat MPM hidup dengan gah dan tenang tanpa memikirkan soal titik-bengik (remeh) tetapi memberi fokus kepada agenda besar negara.

“Jangan fikir bagaimana hendak membayar bil air, api, isu itu terlalu kecil. Kita harus berjiwa besar untuk melakukan sesuatu yang lebih besar demi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian bangunan Wisma MPM-Bina Daulah dan Persidangan Tahunan Majlis Perundingan Melayu (MPM) kelapan di sini, hari ini.

Ahmad Zahid turut mengumumkan peruntukan khusus untuk bayaran sewa bangunan MPM sebanyak RM2,800 sebulan bagi tempoh 10 tahun.

Beliau berkata, semua pihak khususnya MPM tidak seharusnya membiarkan Perdana Menteri keseorangan dalam melaksanakan agenda pengisian kemerdekaan ketika pemimpin utama negara itu diasak dan dihentam dengan pelbagai kritikan serta tohmahan.

“Perdana Menteri mempunyai ‘political will’ (kesungguhan politik) dan komitmen tinggi tetapi tidak seharusnya dibiarkan keseorangan.

“Beliau kini diasak, dihenyak, ditembak dengan hujanan pelbagai isu, akhirnya perkara cabang menjadi keutamaan. Mujurlah beliau tidak hilang fokus kerana darah Tun Abdul Razak mengalir.

“Kesabaran dan daya tahan beliau luar biasa tetapi jangan biarkan Perdana Menteri keseorangan untuk terjemahkan semua agenda ini. Saya berjanji akan membantu beliau dalam menterjemahkan komitmen beliau dan jangan biarkan kami berdua.

“Kami berdua yakin di belakang kami ada MPM untuk membantu melaksanakan dan merealisasikan agenda besar negara,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan MPM supaya bersedia membuka ruang kepada golongan profesional, ilmuwan dan agamawan bagi memastikan wujud semak dan imbang terhadap agenda badan itu.

“Dalam kelekaan kita untuk menterjemah dan mendendangkan agenda besar, kita tidak harus berada dalam kepompong sesama kita saja.

“Ramai di luar sana profesional Melayu, ilmuwan dan agamawan yang umur mereka berada di waktu dhuha (muda), ketika matahari baru naik segalah.

“Bawa mereka duduk dalam MPM, timba pemikiran dan bawa semangat mereka untuk menjadi ‘check and balance’ kepada agenda yang ada dalam MPM, ambil kepedulian terhadap idea mereka.

“Kita mahu keterangkuman pelbagai pihak, peringkat umur untuk kita melaksanakan agenda besar negara,” katanya. – WD MY