PORT DICKSON, 7Dis – Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) menggantung permit penganjuran pesta ria di PD Waterfront, di sini, bermula hari ini, berikutan tragedi buaian besar yang tumbang dan menyebabkan seorang wanita parah manakala dua lelaki cedera.

Menurut Yang Dipertua MPPD Datuk Ab Khalid Mat, penganjur pesta ria berkenaan memang mendapat permit daripada pihak MPPD untuk membuka tapak pesta ria di kawasan berkenaan.

Pihaknya terpaksa menggantung permit berkenaan sejurus kejadian itu sehingga laporan siasatan penuh daripada pelbagai pihak diperoleh.

Sementara itu, penganjur tapak pesta ria yang mahu dikenali Alex berkata, dia mula membuka tapak pesta berkenaan pada 1 November lalu dan sepatutnya permit akan tamat pada 31 Disember ini.

Namun, katanya, berikutan kejadian itu pihak polis sudah mengarahkannya supaya pesta ria itu dihentikan sehingga siasatan selesai.

Alex mendakwa sebelum kejadian itu, hujan lebat dan angin kuat menyebabkan buaian besar itu tumbang.-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY