KUALA LUMPUR, 27 Feb – Catatkan…. Syarikat gergasi terbesar negara, Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) mencatatkan keuntungan sebelum cukai yang lebih tinggi iaitu RM392.63 juta dalam tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016, berbanding RM370.11 juta tahun sebelumnya.

Pemaju hartanah itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, berkata pendapatan melonjak kepada RM2.41 bilion daripada RM1.7 bilion.

Peningkatan daripada pembangunan hartanah dan bahagian pelaburan itu banyak disumbangkan oleh projek pembangunan hartanah yang sedang berjalan.

“Peningkatan bagi tahun kewangan semasa itu juga termasuk jumlah keuntungan sebanyak RM186.5 juta yang timbul melalui penjualan Menara Shell dan Sooka Sentral, serta keuntungan sebanyak RM56.1 juta yang dijana daripada penjualan tanah pegangan pajakan kepada Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd.

“Lain-lain pelaburan hartanah kumpulan di KL Sentral CBD dan Shah Alam juga terus memberikan pendapatan berulang sebanyak RM12.8 juta kepada kumpulan pada tahun kewangan tersebut,” katanya.

Pada suku keempat, keuntungan sebelum cukai MRCB menokok kepada RM238.62 juta daripada RM377,000 manakala hasil melonjak kepada RM1.03 bilion berbanding RM388.2 juta.

MRCB ketika mengulas mengenai prospek, memberitahu kumpulan itu akan terus mengukuhkan kunci kira-kiranya dan mengembangkan aktiviti utamanya yang membabitkan pembangunan hartanah, kejuruteraan, pembinaan dan alam sekitar.

Bahagian pembangunan hartanah kumpulan akan terus memberi fokus ke atas pelancaran projek baharu.

“Pendaftaran untuk projek Sentral Suites di KL Sentral dan Kalista di Bukit Rahman Putra yang akan dilancarkan tidak lama lagi adalah amat menggalakkan, bersama dengan pengiktirafan hasil yang berterusan daripada projek 9 Seputeh dan PJ Sentral, ia akan menyokong jualan dalam 2017,” katanya. – WD MY