KUALA LUMPUR, 8 Mei – Nafi….. Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) menafikan semua dakwaan yang dilemparkan pihak tertentu dan badan bukan kerajaan mengenai isu meroboh pusat beli-belah Ampang Park.

Bagi Pengarah Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Pihak Berkepentingan MRT Corp, Datuk Najmuddin Abdullah berkata kenyataan yang dibuat baru-baru ini dengan menuduh MRT Corp terlibat dengan rasuah adalah tidak benar dan tidak berasas.

Najmuddin juga meminta semua pihak yang membuat dakwaan itu agar tampil mengemukakan bukti kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“MRT Corp mengalu-alukan siasatan oleh pihak berkuasa dan akan memberi kerjasama penuh. Semua audit MRT Corp dilakukan Ketua Audit Negara dan MRT Corp juga meluluskan penubuhan Unit Integriti yang bekerjasama dengan SPRM.

 

“Saya percaya tidak ada penyelewengan yang berlaku,” katanya kepada media di sini hari ini.

Najmuddin turut menafikan dakwaan MRT Corp tidak pernah berjumpa dan berbincang dengan pemilik strata mengenai rancangan membina stesen MRT di bawah Ampang Park.

Beliau menjelaskan MRT Corp telah mengadakan beberapa pertemuan dengan pemilik pada 2015 bagi mencari penyelesaian masalah berkenaan yang boleh memberi faedah kepada kedua-dua pihak, malah menawarkan rekaan alternatif dengan lokasi stesen MRT tersebut dialihkan sedikit.

Bagaimanapun, pilihan itu ditolak oleh pemilik berkenaan yang tidak memberi sebarang keputusan atau cadangan lain pada tempoh yang ditetapkan, katanya.

“Sebaliknya, mereka memutuskan untuk ke mahkamah dan memfailkan semakan kehakiman. Jadi, sekarang kita tunggu keputusan mahkamah mengenainya,” kata beliau yang menjelaskan MRT Corp akan mematuhi keputusan yang dibuat mahkamah nanti.

Semakan kehakiman itu difailkan pada 8 Jan 2016 oleh 39 pemilik strata yang mencabar keputusan kerajaan untuk pengambilalihan pusat beli-belah tertua di ibu kota itu.

Najmuddin berkata tanpa stesen MRT di lokasi itu, tiada pertukaran antara MRT Laluan SSP (Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya) dengan LRT Laluan Kelana Jaya dan ini akan mengehadkan sambungan perkhidmatan rel dalam bandar.

Laluan SSP sepanjang 52.2km dijangka siap pada 2022 dan akan berfungsi sebagai koridor dengan jumlah penduduk kira-kira 2 juta.

 “Pada masa ini, kerja-kerja masih mengikut jadual yang ditetapkan, jadi tidak ada kelewatan dan insya-Allah MRT Corp akan dapat menyiapkannya seperti yang dijadualkan.”- WD MY