KUALA LUMPUR, 30 Nov – TETAPKAN…. Majlis Tanah Negara (MTN) hari ini bersetuju menetapkan kedalaman minimum bagi pengambilan tanah di bawah tanah untuk tujuan pembangunan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata mesyuarat MTN yang dipengerusikan beliau bersetuju bahawa di bawah Peraturan-Peraturan Kanun Tanah Negara (Tanah Bawah Tanah) (Kedalaman Minimum) 2017, kedalaman minimum ditetapkan pada enam meter bagi tanah pertanian, 10 meter bagi bangunan dan 15 meter bagi tanah perindustrian.

Katanya keperluan ini selaras dengan kehendak dan keperluan pembangunan tanah bawah tanah yang semakin pesat seperti pembinaan Transit Aliran Massa (MRT), Rel Berkelajuan Tinggi (HSR), Bandar Malaysia dan pembangunan lain.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang dikeluarkan kepada media selepas mesyuarat tersebut di Bangunan Parlimen.

Ahmad Zahid berkata perkara tersebut adalah antara tujuh perkara yang diluluskan dalam mesyuarat kali ke-73 itu, yang turut dihadiri Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri-Menteri Besar, Ketua-Ketua Menteri serta pegawai atasan agensi kerajaan berkenaan. – WD MY