Bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO dan juga Pengerusi Barisan Nasional (BN).

Pengunduran bekas Perdana Menteri itu dibuat selepas beliau gagal memimpin partinya mencapai kejayaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Serentak keputusan yang berkuat kuasa serta-merta itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan menjalankan tugas Presiden UMNO dan Pengerusi BN.

Seorang lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula akan menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Pengerusi BN.

“Saya berterima kasih kepada semua ahli UMNO sejak saya mengambil jawatan dan yakin jasa UMNO dan BN besar kepada negara kita,” kata Najib sambil menegaskan, beliau tidak akan meninggalkan UMNO dan akan terus menyokong parti berkenaan.

Pengunduran Najib mungkin juga disebabkan tuntutan sesetengah pihak termasuk Pemuda UMNO dari Kedah, Pulau Pinang, Terengganu dan Johor.

Persoalan kini ialah bagaimana nasib UMNO selepas PRU-14. Adakah rakyat akan terus menghukum dan tidak memberi langsung peluang kepada parti ini?

Tsunami anak muda

Bagaimana pula dengan sambutan anak muda yang lebih cenderung kepada Pakatan Harapan. Tsunami anak muda pada PRU-14 adalah bukti UMNO dan BN bukan pilihan mereka.

Majlis sambutan ulang tahun ke-72 UMNO baru-baru ini menyaksikan jumlah hadirin yang agak ramai, namun rata-rata ahli parti yang hadir masih tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa, terkejut dengan kekalahan.

Keputusan PRU-14 Rabu lalu ibarat perlawanan tinju di antara George Foreman dan Muhammad Ali, 44 tahun lalu.

Sebelum masuk ke gelanggang untuk aksi merebut kejuaraan dunia pada 1974 itu, Foreman tidak pernah tewas dan selepas dijatuhkan Ali dalam pusingan kelapan, beliau tidak dapat bangun.

Apabila ditanya selepas perlawanan, Foreman menegaskan beliau tidak pernah tewas dan tidak tahu bagaimana untuk bangun semula.

UMNO yang menjadi tunjang Barisan Nasional (BN) sudah mentadbir negara selama enam dekad, tidak pernah kecundang pada PRU peringkat nasional, sekali gus belum ada pengalaman untuk bangkit semula selepas tewas.

Sungguhpun begitu, masih ramai yakin UMNO mampu untuk kembali bangkit walaupun mengakui ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan.

Mereka yang masih menaruh harapan terhadap perjuangan UMNO perlu bermuhasabah dan menjadikan tragedi ‘hitam’ Mei ini sebagai penyuntik semangat untuk mengembalikan semula zaman kegemilangan UMNO.

Dalam hal ini, UMNO perlu kembali kepada perjuangan asas, iaitu meletakkan kepentingan rakyat melebihi kepentingan pemimpin.

Budaya takut kepada pemimpin dan menegakkan benang yang basah perlu dikikis supaya rakyat tidak hilang kepercayaan kepada parti.

Bagi pemimpin pula, mereka perlu bersikap terbuka dan bersedia untuk dikritik dan dibidas jika membuat keputusan yang merugikan UMNO.

Penulis adalah Pengerusi Biro Politik, Majlis Perundingan Melayu Malaysia-MY WD