MUAR, 12 JULAI – BIMBANG…. Tindakan kerajaan Johor untuk terus mengekalkan had usia belia kepada 40 tahun dibimbangi akan menyebabkan bantuan daripada Kerajaan Persekutuan tidak akan sampai kepada persatuan belia di negeri itu.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia berikutan kemungkinan kegagalan persatuan belia dari negeri itu untuk mematuhi undang-undang apabila ia dikuat kuasa kelak.

“Saya bimbang kalau Johor tak ikut cara macam itu (perubahan had usia belia), bantuan untuk gerakan belia dan sebagainya itu mungkin tidak akan sampai, itu yang saya bimbangkan.

“Saya harap di Johor ini mereka akan terbabit bersama-sama dalam hal ini,” katanya ketika ditemui media pada Program Meraikan Bakal Haji serta Hajah Peringkat Parlimen Pagoh dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Bukit Pasir malam tadi.

Seramai 131 bakal jemaah haji dari Parlimen Pagoh dan DUN Gambir turut hadir pada majlis itu.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata, selain itu semua kerajaan negeri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) perlu mengikut dasar dan keputusan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan bagi mengelak percanggahan.

“Kalau pusat (Kerajaan Persekutuan) di bawah PH dah putuskan rang undang-undang (RUU) sebegitu yang diguna pakai di peringkat nasional, elok juga negeri di bawah PH ikut dasar dan keputusan yang sama.

“Kalau ada percanggahan, itu tak moleklah. Itu tujuannya dan saya lihat dari sudut ini, saya tengok apa sahaja keputusan yang dibuat terutama oleh Parlimen, dah jadi satu undang-undang yang hendak dikuatkuasakan. Elok kita pada keputusan itu,” katanya.

Beliau berkata, selain itu tujuan RUU itu juga adalah untuk menyeragamkan had usia belia yang sememangnya diguna pakai di peringkat antarabangsa.

“Pasal pada zaman sekarang ini, usia 30 tahun itu dah cukup dewasa. Tetapi jadual pelaksanaan (RUU) itu tidak dibuat serta-merta kerana ia mempunyai tempoh tertentu.

“Ada tempoh sehingga 2021 kalau tidak silap iaitu tarik ia mula dikuatkuasakan. Jadi, untuk itu, semua pertubuhan belia perlu mematuhinya,” katanya.

Sementara itu, usaha pemberita untuk mendapatkan maklum balas daripada Dr Sahruddin mengenai isu had usia belia di Johor yang dikekalkan tidak berjaya apabila beliau tidak menyertai sidang media bersama Muhyiddin. – WD MY