KUALA LUMPUR, 12 Okt – Dua pemimpin Umno iaitu Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden, Datuk Seri Shafie Apdal dalam satu kenyataan bersama beberapa bekas pemimpin UMNO dan MCA mendakwa polis menyalahgunakan kuasa dengan menahan bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya, Matthias Chang.

Muhyiddin dan Shafie yang digugurkan daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dalam kenyataan bersama itu mendakwa, penggunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA 2012 untuk menahan kedua-dua individu tersebut kononnya bertentangan dengan tujuan akta berkenaan diluluskan oleh Parlimen.

“Amatlah malang bagi rakyat Malaysia apabila tindakan tersebut diambil oleh pihak berkuasa, mesej yang sampai kepada rakyat ialah apabila seseorang melaporkan berlaku kesalahan, orang yang membuat laporan akan ditangkap.

“Oleh kerana tidak ada undang-undang yang dapat digunakan untuk menahan dan menangkap orang yang membuat laporan maka digunakan satu undang-undang yang digubal untuk tujuan memelihara keselamatan negara dan ketenteraman awam serta memperuntukkan satu hukuman yang berat untuk membuat tahanan dan tangkapan,” dakwa mereka menerusi kenyataan itu hari ini.

Kenyataan kedua-dua mereka itu dikeluarkan secara bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Ling Liong Sik, Tengku Razaleigh Hamzah, Tan Sri Ong Tee Keat dan Tan Sri Sanusi Junid.

Menurut kenyataan bersama itu, Matthias adalah peguam yang mengiringi Khairuddin membuat laporan mengenai dakwaan salahlaku 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada pihak-pihak berkuasa di dalam dan di luar Malaysia.

Dakwa mereka, tindakan dua individu itu tidak bercanggah dengan undang-undang mana-mana negara dan tidak boleh dianggap sebagai suatu ancaman kepada ketenteraman dan keselamatan awam yang dilindungi oleh SOSMA.

“Laporan-laporan yang dibuat oleh Khairuddin adalah mengikut lunas-lunas demokrasi serta hak yang dijamin oleh mana-mana negara yang mengamalkan sistem demokrasi,” dakwa mereka.

Sehubungan itu, ketujuh-tujuh mereka menegaskan penahanan Matthias dan Khairuddin di bawah SOSMA adalah satu bentuk penyalahgunaan proses undang-undang oleh pihak berkuasa.

“Ia menyekat hak dan kebebasan individu untuk mengambil suatu tindakan yang sah dalam sebuah negara yang menjunjung keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang,” dakwa mereka lagi.

Kenyataan itu turut mendesak polis membebaskan kedua-dua individu tersebut serta merta dan memberi jaminan bahawa tiada sesiapa lagi akan ditahan di bawah SOSMA hanya kerana menyatakan pandangan, pendapat dan kritikan. -Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY