PUTRAJAYA, 7 Sept – Mesyuarat Biro Politik UMNO berlangsung di Perdana Putra
di sini hari ini yang dipengerusikan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mesyuarat itu turut dihadiri Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin
Yassin dan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang digugurkan
daripada barisan kabinet dalam rombakan kabinet pada 28 Julai lepas.

Kehadiran Muhyiddin dan Mohd Shafie ke mesyuarat tersebut disahkan pegawai
kedua-dua pemimpin tersebut.

Sumber memaklumkan, surat jemputan memanggil mesyuarat itu diedar pada 2
Sept lalu dan ditandatangani Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan
Tengku Mansor.

Mesyuarat yang bermula pada 9.30 pagi itu berlangsung selama kira-kira sejam
sebelum kenderaan yang membawa kedua-dua pemimpin itu dilihat keluar dari
bangunan Perdana Putra kira-kira 10.45 pagi.

Hadir sama pada mesyuarat itu ialah Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat
Abdul Jalil dan Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin.-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY