KUALA LUMPUR, 4 Feb – Masa depan UMNO dibimbangi terjejas, dengan banyak keputusan diambil tanpa mengira sentimen dan kehendak rakyat.

Menurut Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin, jika sesuatu keputusan dibuat tanpa mengambil kira sentimen dan kehendak rakyat terbanyak, masa depan parti mungkin akan terjejas.

Beliau yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika mengulas peletakan jawatan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah pada Rabu.

“Saya amat duka cita dengan peristiwa ini. Saya yakin rakyat tahu apakah sebab sebenar beliau disingkirkan. Di antara hak menyuarakan yang benar dengan tuntutan taat yang membuta tuli,” kata Muhyiddin dalam posting terbaharu di akaun Facebook beliau pada Rabu malam.

Kata Muhyiddin lagi, Mukhriz menerima tekanan berterusan daripada pihak yang mahu beliau berundur walaupun dalam masa sama menerima sokongan daripada majoriti rakyat Kedah.

“Oleh sebab tekanan politik yang luar biasa, maka hari ini beliau terpaksa melepaskan jawatan Menteri Besar.

“Saya percaya, ramai rakyat Kedah yang kecewa. Bahkan, rakyat Malaysia juga kecewa,” tulis Muhyiddin.

Beliau dalam pada itu percaya dugaan hebat menanti pengganti Menteri Besar Kedah untuk menarik kembali sokongan rakyat kepada UMNO, namun menaruh keyakinan bahawa Mukhriz mampu menghadapi dugaan ini.

“Beliau seorang pemimpin yang berintegriti dan mempunyai karisma.

“Segala yang berlaku ada hikmahnya. Mungkin ini satu permulaan kepada perjuangan yang lebih panjang,” tambah Muhyiddin.

Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada Rabu mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai Menteri Besar Kedah berkuat kuasa serta-merta.

Mukhriz berkata beliau dimaklumkan telah hilang sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri Kedah.

Tempat beliau diganti oleh Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Kedah dan Adun Bakar Bata untuk lima penggal sejak 1995. – Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY