TOKYO, 13 Mac – Malaysia akan berkongsi pengalaman dan
pengetahuan tentang pengurusan bencana dengan lebih 20 negara pada Persidangan
Dunia PBB yang ketiga mengenai pengurangan risiko bencana di Sendai, Jepun
selama lima hari bermula Sabtu (14 Mac).

Delegasi Malaysia pada persidangan itu akan diketuai Timbalan Perdana
Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana
Negara.

Duta Malaysia di Jepun Datuk Ahmad Izlan Idris berkata Muhyiddin akan hadir
pada dua hari persidangan antarabangsa itu bermula esok atas jemputan Perdana
Menteri Jepun Shinzo Abe dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu
Ban Ki-moon, yang menjemput pemimpin utama negara.

Katanya semasa persidangan, semua negara peserta akan bertukar-tukar
pandangan dan berkongsi pengalaman mengenai isu semasa berkenaan pengurusan
risiko selain bagi menyediakan rangka kerja baharu hasil persidangan di Sendai,
yang terletak kira-kira 380 km dari sini.

” Timbalan perdana menteri menyatakan pengalaman kita, dasar kita, selain
mengambil kira pengurangan risiko bencana dalam pembangunan mapan untuk
ekonomi, pembangunan dan pembasmian kemiskinan.

“Selain itu kita juga mahu cari kaedah untuk kerjasama antarabangsa
berdasarkan pengalaman dalam menangani kawalan pengurangan risiko,” katanya
kepada wartawan Malaysia di sini.

Ahmad Izlan berkata timbalan perdana menteri akan diiringi isteri Puan Sri
Norainee Abdul Rahman, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan
Kassim selain delegasi pegawai kanan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Unit
Perancang Ekonomi (EPU), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kerja Raya

“Pada hari pertama persidangan (Sabtu), timbalan perdana menteri akan
menghadiri majlis perasmian persidangan itu dan kemudian beliau akan menghadiri
jamuan tengah hari yang dihoskan perdana menteri Jepun untuk semua ketua
delegasi. Selepas itu, beliau juga akan mengadakan pertemuan dua hala dengan
Timbalan Perdana Menteri Turki Numan Kurtulmus,” katanya.

Beliau berkata pada Ahad, Muhyiddin akan menghadiri persidangan meja bulat
(pembinaan semula selepas bencana) di Sendai, diikuti acara menerima kunjungan
hormat Menteri Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan Jepun Akihiro
Ota.

Ahmad Izlan berkata kehadiran timbalan perdana menteri menunjukkan komitmen
tinggi dan usaha berterusan Malaysia terhadap usaha-usaha pengurangan risiko
bencana di peringkat nasional dan antarabangsa.

Lawatan kerja empat hari Muhyiddin akan bermula sebaik tiba di Tokyo pukul
10.30 malam ini waktu tempatan (9.30 malam waktu Malaysia).

Ahmad Izlan berkata Muhyiddin turut mempunyai beberapa acara lain iaitu
pada Ahad malam, beliau akan mengadakan pertemuan dengan komuniti Malaysia di
Jepun.

Pada Isnin (16 Mac), timbalan perdana menteri akan mengadakan pertemuan
dengan Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi Jepun Hakubun
Shimomura di Tokyo.

Semasa kunjungan itu, satu majlis menandatangani memorandum kerjasama dalam
bidang pendidikan antara Malaysia dan Jepun, akan diadakan.

“Memorandum kerjasama dalam bidang pendidikan itu antaranya untuk
memperkukuh,menggalakkan dan mengadakan lebih banyak usaha dan kerjasama. Ini
melibatkan prasekolah, sekolah rendah dan menengah.

” …antaranya berkaitan hubungan institusi sekolah dalam
bidang sains dan matematik, teknologi maklumat dan komunikasi, sukan, kebudayaan
dan muzik, pendidikan dan latihan guru, pendidikan dan latihan teknikal serta
vokasional,” katanya.

Persidangan Dunia Pengurangan Risiko Bencana ketiga ini diadakan di wilayah
Tohokun, yang turut menerima kesan daripada gempa bumi dan tsunami yang melanda
dan membawa kepada krisis Fukushima.

Ia merupakan lokasi yang sesuai untuk meneruskan langkah ke arah kemajuan
selepas ditimpa kemusnahan akibat tsunami dalam Januari 2005 yang meragut
227,000 nyawa.-Bernama

LEAVE A REPLY