TAPAH, 7 Julai – LANCAR ….. Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan Lembah Herba Wilayah Trolak dengan fasa pertama melibatkan lima tanah rancangan di zon Trolak iaitu Trolak Utara, Trolak Selatan, Trolak Timur, Sungai Klah dan Sungai Behrang meliputi kawasan seluas 59.24 hektar.

Pelancaran itu dilakukan bersempena sambutan Hari Peneroka Felda 2020 Peringkat Kebangsaan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Felda, Kampus Tun Abdul Razak di Trolak, Sungkai di sini.

Pada majlis itu, Muhyiddin diiringi Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Arthur Joseph Kurup; Pengerusi Felda Datuk Seri Idris Jusoh; Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Ketua Peneroka Felda Kebangsaan Sulong Jamil Mohamed Shariff.

Terdahulu dalam ucapan perasmian Hari Peneroka Felda 2020, Muhyiddin berkata Lembah Herba yang menjadi sebahagian daripada Program Pembangunan Peneroka akan dilaksanakan di lima tanah rancangan Felda Wilayah Trolak.

“Pasaran juga telah tersedia dengan adanya dua syarikat yang telah dikenal pasti,” katanya.

-WD MY (BERNAMA)