RANAU, 7 Jun – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin
hari ini melawat dua sekolah dan masjid daerah di sini yang rosak akibat gempa
bumi pada Jumaat lepas.

Masjid Daerah Ranau, tempat pertama beliau lawati, diikuti Sekolah Menengah
Kebangsaan Agama (SMKA) Mohamad Ali dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ranau.

Turut mengiringi beliau, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Timbalan
Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Menteri Pelancongan, Kebudayaan
dan Alam Sekitar negeri Datuk Masidi Manjun, Menteri Kesejahteraan Bandar,
Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Setiausaha
Kerajaan Negeri Tan Sri Sukarti Sukiman.

Dalam lawatan di Masjid Daerah Ranau, beliau diberi penerangan mengenai
kerosakan masjid yang kini ditutup oleh Masidi yang juga Anggota Dewan Undangan
Negeri kawasan Karanaan.

Ketika melawat SMKA Mohamad Ali dan SMK Ranau pula, Muhyiddin diberi
penerangan oleh Pengarah Pelajaran Sabah Datuk Jame Alip dan taklimat itu turut
dihadiri Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mary Yap.

Timbalan perdana menteri kemudian ke Taman Kinabalu di Kundasang bagi
mendengar taklimat bencana serta operasi mencari dan menyelamat mangsa yang
terperangkap di puncak Gunung Kinabalu sebelum berlepas balik ke Kota Kinabalu.

Masjid Daerah Ranau mengalami kerosakan beberapa struktur bangunan dan
siling bumbung anjung tepi runtuh.

Dua blok kuarters rumah guru SMK Ranau yang menempatkan 23 keluarga
mengalami keretakan menyebabkan ia dikosongkan serta paip bawah tanah pecah
menyebabkan bekalan air di kawasan sekolah ditutup.

Di SMKA Mohamad Ali, kerosakan membabitkan siling sebuah kelas di sekolah
itu runtuh.-Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY