ALOR SETAR, 12 Nov – Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyuarakan kegembiraan beliau atas keputusan Osram, sebuah syarikat semikonduktor yang berpangkalan di Jerman, melabur sejumlah EURO1 bilion (RM4.67 bilion) di Kulim Hi-TechPark.

Menurut beliau keputusan pembinaan kilang cip diode pemancar cahaya (LED)
di Kulim, Kedah dan tapak pengeluaran cip LED enam inci terbesar dan terbaharu
di dunia, itu dilihat mampu menyemarakkan lagi ekonomi Kedah.

“Ini menunjukkan bahawa pihak pelabur asing yakin terhadap kemampuan
Malaysia dan Kedah khususnya, dalam membekalkan perkhidmatan terbaik bertaraf
antarabangsa,” katanya.

Syarikat-syarikat dari dalam dan luar negara katanya juga diyakini akan
tertarik untuk melabur di Kedah susulan keputusan Osram itu.

“Saya yakin ia akan menarik perhatian syarikat lain dalam sektor yang sama
memandangkan keputusan Osram, yang merupakan syarikat terkenal, akan meyakinkan
syarikat lain, tidak kira besar atau kecil. Oleh itu, ini merupakan berita baik
pada hujung tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian
Usaha Sama Program Mikro Kredit Negeri Kedah antara kerajaan negeri dan Bank
Simpanan Nasional (BSN) serta Majlis Penyerahan Dana Usahawan melalui Pihak
Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) kepada UPUK di Wisma Darul Aman di
sini hari ini.

Perbadanan Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam kenyataanya semalam
menyebut Osram, peneraju global dalam bekalan produk lampu, akan melabur EURO3
bilion lagi menjelang 2020.

EURO1 bilion akan dilabur untuk pembinaan kilang cip LED manakala EURO2
bilion lagi akan dilabur dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk kumpulan
Osram di seluruh dunia.-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY