KULIM, MAC 26: Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid meminta timbalan presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Datuk Seri Mukhriz Mahathir agar tidak mengheret Barisan Nasional (BN) dalam kancah penggunaan khidmat syarikat penganalisis data, Cambridge Analytica.

Mahdzir yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah berkata sepanjang menjadi anggota jawatankuasa badan perhubungan UMNO negeri dari 2008 hingga 2013, perkara tersebut tidak pernah ditimbulkan dalam mana-mana mesyuarat.

“Seingat saya, tidak pernah ada mesyuarat mengenai penggunaan khidmat syarikat itu dan jika ada, mungkin dia (Mukhriz) guna untuk diri sendiri (semasa menjadi menteri besar Kedah).

“Sebab itu, jika ada apa-apa yang berbangkit, itu antara dia dengan Cambridge Analytica. Jangan bila dah lena, nak heret sama BN,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Turun Padang Pengurusan Tertinggi Kementerian Pendidikan Malaysua (KPM) ke Kulim-Bandar Baharu di sini, pada Sabtu.-MY WD