ARAU, 10 JUN – LETAK JAWATAN….. Pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diterima secara terbuka oleh semua pihak termasuk pemimpin dalam Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata malah Latheefa juga sendiri tidak boleh sewenang-wenang melepaskan jawatan itu walaupun didesak pelbagai pihak.

“Perlantikan beliau (Latheefa) adalah keputusan oleh Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) sendiri selepas mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong.

“Latheefa tidak boleh sewenang-wenangnya meletakkan jawatan kerana jika dia ingin berbuat demikian, perkara itu mestilah mendapat persetujuan sendiri oleh Dr Mahathir dan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Malah sebelum ini pun kita mengetahui yang Dr Mahathir sama sekali tidak akan ‘U-turn’ dan berganjak dengan keputusannya berkaitan pelantikan itu,” katanya.

Sebelum ini pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM mendapat pelbagai reaksi daripada banyak pihak termasuk dalam kalangan parti komponen PH sendiri.

Ini berikutan pelantikan itu dilihat bertentangan dengan manifesto PH yang sebelum ini menyatakan setiap pelantikan jawatan penting dalam kerajaan perlu melalui pemilihan dalam Jawatankuasa Khas Parlimen.

Mengulas mengenai pelantikan Latheefa yang dilihat bertentangan dengan manifesto, Mukhriz berpendapat Dr Mahathir juga mempunyai hak untuk melantik mana-mana pihak ke dalam jawatan penting kerajaan seperti yang termaktub dalam perlembagaan.

“Jika dilihat tuan punya badan (Latheefa) sebelum ini juga lantang mengkritik pelantikan Dr Mahathir sebagai perdana menteri.

“Jadi beliau adalah orang layak memegang jawatan itu atas kredibilitinya yang lantang dan tidak berkepentingan ke atas mana-mana pihak,” katanya. – WD MY