SUNGAI PETANI, 19 NOV – SALAH…. Pakatan Harapan (PH) tidak pernah sesekali menyalahkan pengundi di kawasan Parlimen Tanjung Piai walaupun keputusan pilihan raya kecil (PRK) kerusi berkenaan pada Sabtu lalu tidak memihak gabungan empat parti berkenaan.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata PH menerima keputusan yang dibuat rakyat, sama ada pada PRK atau pilihan raya umum (PRU).

“Apa yang jadi pilihan rakyat, ia adalah betul. Keputusan tidak memihak kita pun, ia betul. Kita tidak boleh langsung salahkan rakyat kerana tidak memilih kita,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Komuniti McDonalds peringkat negeri di Amanjaya, petang semalam.

Menyifatkan situasi dan perasaan selepas kalah di Tanjung Piai seperti juga perasaan Barisan Nasional (BN) yang tewas pada PRU lalu, beliau berkata, semua pihak dalam PH perlu segera melaksanakan yang terbaik buat rakyat bagi mengembalikan semula sokongan terhadap pakatan itu.

Datuk Seri Mukhriz Mahathir (dua dari kanan) menandatangani pada plak pada Program Komuniti Mc Donalds Malaysia dan Perasmian Mc Donalds di Aman Jaya.

“Saya rasa sama juga rakan-rakan dalam BN apabila mereka tewas pada PRU lalu, hilang banyak negeri serta juga (kalah) di Persekutuan. Perasaan yang dihadapi mereka ketika itu sama juga seperti apa yang kami rasakan pada 16 November lalu,” katanya.

Mengulas gesaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob supaya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membubarkan Parlimen susulan kekalahan PH di Tanjung Piai, Mukhriz menegaskan, ia cadangan yang tidak masuk akal untuk dilaksanakan.

“Kerajaan terdahulu sebelum ini, iaitu pada penggal ke-12 dan 13 pun, penggalnya cukup-cukup lima tahun. Jadi apa sebabnya bila PH baru pertama kali membentuk kerajaan, tiba-tiba hendak dipendekkan kepada setahun setengah untuk (Parlimen) dibubarkan,” katanya. – WD MY