ALOR SETAR, 24 Mac – Sahut Debat……. Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyahut cabaran Naib Ketua Bahagian UMNO Bahagian Pokok Sena, Haris Che Mat untuk berdebat mengenai dakwaan ke atas dirinya seorang ‘ billionaire’ dan menetapkan tarikh perdebatan paling cepat ialah pada 29 Mac ini.

Mukhriz berkata, beliau sebenarnya ternanti-nanti peluang dicabar untuk berdebat terutamanya dengan Haris yang mengaku sebagai bekas Pegawai Khas Politiknya bagi mematahkan semua hujah yang dilontarkan kepadanya.

Katanya, beliau merasakan tarikh yang paling cepat adalah pada 29 Mac ini kerana perkara sebegini tidak perlu tunggu lama tetapi ia bergantung kesediaan Haris.

“Cabaran terbabit adalah peluang keemasan untuk saya kerana saya pun mahu tahu fakta mana yang dia yakin saya seorang ‘billionaire’. Saya sendiri tak tahu dakwaan terbabit dan Haris dipersilakan dedahkan ia nanti.

“Buat saja di kawasan dia sendiri iaitu Pokok Sena, tidak perlu di Jerlun. Mungkin dia nak bertanding di situ maka buat di situ…jika semua kelulusan yang perlu termasuk permit ada maka 29 Mac ini paling sesuai. Tak perlulah tunggu sampai bulan puasa.

“Tuduhan terbabit membuat saya rasa bangga dengan Haris. Dedahlah sebab saya pun nak tahu maklumat mana dia dapat nanti masa hari perdebatan. Malah saya pun ada rahsia dia dan semua bos dia yang perlu didedahkan,” katanya ketika ditemui di pejabat Pakatan Harapan petang semalam.

Hari ini, Haris mencabar Mukhriz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam untuk berdebat mengenai kekayaan yang mencecah berbilion ringgit dimilikinya sehingga mampu menjadi jutawan.

Cabaran itu dilontarkan pada sidang media di rumahnya di Taman Bunga Sena, di sini dengan mencadangkan sesi debat itu diadakan sebelum bulan Ramadan iaitu bulan Mei ini yang dianjurkan di dalam Parlimen Jerlun.

Ketika ditanya sama ada debat terbabit dilakukan secara langsung, Mukhriz berkata, beliau menganggap cadangan terbabit amat bagus bagi membolehkan semua rakyat dapat mendengar dan melihat sesi pendedahan yang akan dilakukan dalam sesi perdebatan terbabit.

“Sesi perdebatan ini akan dilakukan tanpa syarat supaya semuanya berjalan lancar sekali gus banyak pendedahan boleh dilakukan,” katanya. – WD MY